Monday, July 5, 2021

BBM5407Dua2021: Teori Analisis Wacana Normaliza Abd Rahim 2019 (Dokumentari)

TUGASAN DOKUMENTARI

N1: narrator

PGB : Pengusaha Garam Bari

PID: Pengusaha Inap Desa

Pengekodan

Transkrip

Mod1

Negeri Sarawak bumi kenyalang juga mempunyai destinasi agro pelancongan yang istimewa untuk kita lawati. Destinasi ketiga dalam episode agro pelancongan ialah Bario atau lebih dikenali sebagai Kelabit Highlands. Untuk ke daerah Bario, sekiranya dari semenanjung Malaysia iaitu daripada Lapangan Terbang antarabangsa kuala lumpur klia. Anda perlu menggunakan perkhidmatan penerbangan pesawat sehingga ke lapangan terbang antarabangsa Miri dan kemudiannya anda perlu menaiki perkhidmatan pesawat ringan Mas Wing sehingga ke Lapangan Terbang Bario. Daerah Bario hanya boleh menerima penerbangan pesawat ringan sahaja memandangkan keadaan lapangan terbangnya yang kecil serta keadaan tanah tinggi yang tidak sesuai untuk pesawat yang lebih besar. Bario ialah sebuah kawasan dataran tanah tinggi yang terletak di timur Sarawak. Bario namanya yang unik berasal dari dua perkataan kelabit iaitu “ba” bermaksud sawah padi, dan “rio” yang bermaksud angin. Terletak kira-kira 1150 meter di atas paras laut. Lokasinya berhampiran dengan sempadan antarabangsa Kalimantan Indonesia. Perjalanan dari Miri dengan pacuan empat roda akan mengambil masa tiga belas jam untuk ke bario. Oleh itu, untuk meringkaskan perjalanan ke Bario, perkhidmatan penerbangan ringan merupakan laluan penting perhubungan di antara lapangan terbang bario dan bagan lalan. Marudi dan Miri. Jadual penerbangan Cuma tiga kali sehari. Jadi perlu untuk menempah tiket penerbangan seawal mungkin bagi melancarkan perjalanan. Kami menggunakan penerbangan dari lapangan terbang antarabangsa Miri ke Bario yang mengambil masa hampir satu jam tiba di lapangan terbang bario.setibanya krew penerbitan, kami dapat melihat suasana lapangan terbang yang cukup ringkas dikelilingan dengan gunung yang menghijau yang menenangkan. Suku kaum kelabit terdiri dari 5000 orang merupakan kaum terkecil di Sarawak. Di samping itu juga kau Kayan merupakan kaum yang menumpang di kampung Bario milik kaum kelabit. Bagaimanapun, suasana harmoni dapat dirasakan walau dari sudut pembangunan seolah-olah masih dalam proses pembangunan dengan populasi penduduk yang tidak padat. Seperti kaum lain di Sarawak, suku kaum Kelabit tinggal di rumah panjang di tanah tinggi. Bagaimanapun, kerana faktor ekonomi dan sosial ramai telah berhijrah ke Bandar sejak 20 tahun yang lalu. Ia dianggarkan terdapat 3000 orang kelabit masih menetap di tanah tinggi Bario. Suasana nyaman dan segar dengan suhu sejuk mendamaikan minda apabila tiba di perkampungan suku kaum kelabit di daerah bario ini. Walaupun daerah bario ini terdiri daripada penempatan kecil, namun pelbagai perkhidmatan sedang dipertingkatkan demi kemudahan pengunjung di sini. Terdapat monumen memorial sejarah di pintu masuk menuju ke chalet dan kafe. Ianya tugu bagi memperingati pemimpin-pemimpin besar di sini yang terkorban ekoran kemalangan kapal terbang di daerah ini. Untuk perkhidmatan transaksi, bank setempat turut disediakan sebagai kemudahan di bawah bank simpanan nasional. Terdapat juga galeri maklumat mengenai daerah Bario, tradisi dan kebudayaan yang terdapat di sekitar daerah ini. Aktiviti ekonomi utama di sini ialah pertanian. Antara tanaman utama di sini ialah padi dan nenas. Kunjungan ke Bario tidak lengkap sekiranya tidak singgah ke lokasi pembuatan garam yang masih diusahakan secara tradisional dari telaga masin main kerambut di kampung Pak umur yang terletak kira- kira 1100 m dari paras laut. Untuk mengunjungi sebuah telaga semula jadi yang terletak di bangsal kecil ia memerlukan seseorang itu melintas hutan yang agak berlumpur dan berbukit kira-kira 30 minit.

 

PGB

Pertama sebelum kita mau proses garam, kita mau ambil ni garam dari telaga sana, mau angkut mau masuk dia dalam ni kuali baru kita masak sampai dia mendidihla. Mendidih kering kurang lebih 12 jam macam tula sampai di kering. Kalau sudah nampak dia punya garam baru kita angkat simpan ke kuali sana.pastu baru kita masuk lagi dalam buluh. Sudah masuk dalam buluh kita mau tebuk lagi dia punya burit dia punya belakang. Buangkan dia punya air pastu baru kita angkat bawa ke belakang sana kasi dia punya buluh kering untuk proses mau kasi bakar dia. Ahh khasiat ni garam di bagus untuk kesihatan. Kedua, dia kita punya sayur yang kita masak itu dia tak cepat basi aaa.. contoh kalau kita masak sayur hijau la, sayur daun kalau kita masak itu dia takkan berubahlah dia tetap hijau. Saya alu alu kan dari orang luarlah, datanglah mau tengok sendirilah macam mana memproses garam bario, garam bukit. Tengoklah macam mana buatlah supaya kita puas hatilah tengok sendiri.

 

N1

Garam itu dikatakan memilliki pelbagai khasiat tersendiri berbanding garam biasa. Selain terkenal dengan beras. Bario juga terkenal dengan hasil buah yang manis iaitu nenas bario. Iklim sejuk pada purata 20 darjah celcius merupakan faktor utama beras dan nenas di Bario mempunyai rasa yang sangat unik. Kami di bawa oleh Cik Zahara Mustafa Raja Siwa ke ladang nenas milik keluarganya yang terletak berhampiran dengan chalet keluarganya. Saujana mata memandang keindahan alam semula jadi yang terbentang di sekitar bukit bukau dapat dilihat dari puncak bukit ladang  nenas.Selain daripada itu, bagi memeriahkan lagi suasana, pengunjung juga boleh kenali sendiri kebudayaan etnik kelabit yang semestinya juga penuh dengan warna-warni dan keunikan seperti etnik-etnik di Sarawak yang lain. Dan keunikan etnik Sarawak ini juga terletak kepada hasil kraftangan masyarakat Kelabit di Bario yang semestinya boleh dibeli dengan harga yang berpatutan memandangkan ianya dibeli secara lansung daripada pembuatnya.

 

PID

saya adalah cik zaharah Mustapha raja siwa dari bario pemilik zaharah lodge. Kiteorang menyediakan tempat penginapan termasuk catering, transportation macam tula. Tempat-tempat menarik di Bario ni seperti lubang garang, beras bario dan juga nenas bario. Then kita sendiri pun ada juga ladang nenas sendiri. Kebanyakan pelancong datang ke sini dia berminat kerana dia lain daripada tempat yang lain kerana suasana dia sejuk dan terletak di dataran tanah tinggi. Orang- orang di sini juga berbangsa kelabit, majority dia dan minority dia adalah daripada kaum penan so datanglah ke Bario.

 

N1

walaupun bario sudah di dalam proses pembangunan, namun rumah-rumah panjang asli yang terdapat di Bario tidak dirobohkan. Setiap rumah panjang mewakili satu kampung. Oleh itu, di dalam rumah kampung akan terdapat sebuah rumah panjang yang diketuai oleh ketua rumah panjang atau lebih dikenali sebagai tuai rumah. Di bario terdapat rumah panjang yang telah diubahsuai menjadi moden walaupun masih mengekalkan konsep asal rumah panjang dan masih ada rumah panjang yang masih mengekalkan struktur seni bina tradisi asal. Dengan kerjasama yang baik di kalangan kaum kelabit mereka telah menetapkan beberapa rumah panjang khas untuk lawatan para pelancong. Di hujung kawasan dataran tanah tinggi kelabit ini, pengunjung boleh saksikan sendiri kehidupan suku kaum penan. Penan merupakan suku kaum minoriti di Bario. Suku kaum ini masih mengamalkan cara hidup tradisi mereka. Rupa paras penan bermata sepet dan berkulit putih. Mereka masih selesa untuk tinggal di hutan dan tidak suka tinggal di kawasan pekan atau Bandar. Ada juga sesetengah suku kaum penan itu yang berpindah randah bergantung kepada sumber makanan yang terdapat di dalam kawasan hutan yang mereka duduki. Garam Bario, nenas Bario, berasa Bario merupakan produk pertanian bario yang unik dan tidak terdapat di mana-mana tempat di seluruh dunia. Manakala kundasang dengan sayur yang segar dan labis dengan buah-buahan yang esotik yang menjadikan industri agro pelancongan negara terus berkembang yang menjadi punca pendapatan rakyat dan negara. Demikian tadi paparan mengenai agro pelancongan di tiga destinasi Malaysia yang unik dan menarik untuk kita jadikan sebahagian daripada asas pengetahuan dari generasi ke generasi. Semoga karya ini menjadi inspirasi kepada anda untuk anda merancang percutian ke destinasi menarik di Malaysia selain mencambah idea untuk penonton menjana pendapatan dari pelbagai sektor. 3 destinasi akan terus mengupas dan meneroka keunikan dan keindahan Malaysia.

 

Analisis Dokumentari

Teori Analisis Wacana Normaliza Abd Rahim (2019)

Kandungan

Tema

N1: Negeri Sarawak bumi kenyalang juga mempunyai destinasi agro pelancongan yang istimewa untuk kita lawati. Destinasi ketiga dalam episode agro pelancongan ialah Bario atau lebih dikenali sebagai Kelabit Highlands….

Jika diteliti dalam video dokumentari 3 Destinasi yang bertajuk Bario, tema yang ingin diketengahkan ialah tema pelancongan. Hal ini dapat dibuktikan apabila pada permulaan video N1 telah memerihalkan mengenai Bario yang terletak di Sarawak. Dalam hal ini, N1 telah bercerita mengenai keunikan di Perkampungan Bario. Berdasarkan video, menunjukkan bahawa Bario merupakan sebuah dataran tanah tinggi yang mempunyai ciri uniknya yang tersendiri. Selain itu, jika dihayati video dokumentari, menunjukkan bahawa Perkampungan Bario ini kaya dengan budaya. Hal ini demikian kerana, di Bario terdapat pelbagai suku kaum seperti suku kaum Kelabit, suku kaum Penan dan sebagainya. Dengan pelbagai suku kaum yang terdapat di Bario maka budaya juga berbeza. Hal ini yang ingin ditunjukkan oleh N1 kepada penonton. Selain daripada itu, N1 juga menunjukkan keunikan aktiviti ekonomi di Bario. Dalam hal ini, penonton dapat melihat ekonomi yang dijalankan oleh Kaum yang menetap di Bario seperti aktiviti penanaman padi, penghasilan garam serta peladangan nenas. Pada hemat saya, tema yang diketengahkan iaitu tema pelancongan sememangnya sesuai untuk dijadikan sebagai tema dokumentari. Hal ini demikian kerana, melalui dokumentari ini, penonton lebih terbuka terhadap tempat-tempat yang belum pernah diterokai. Dalam hal ini, N1 berjaya untuk menarik minat penonton mengenai keunikan di Bario yang merupakan salah satu tempat pelancongan di Sarawak. Selain itu, dokumentari yang menunjukkan aktiviti ekonomi juga boleh menyebabkan masyarakat luar lebih mengetahui bagaimana penduduk pedalaman menjana pendapatan. Hal ini dapat memberi pengetahuan asas mengenai kaum minority yang terdapat di Sarawak. Melalui dokumentari ini juga pendedahan mengenai budaya masyarakat di Sarawak dapat ditunjukkan. Hal ini demikian kerana, jika dilihat dalam televisyen budaya berkaitan kaum minoriti jarang ditayangkan. Dengan adanya dokumentari seperti ini, masyarakat akan lebih terdedah dengan budaya kaum minoriti di Sarawak.  

Konteks

Tatabahasa

PGB: Pertama sebelum kita mau proses garam, kita mau ambil ni garam dari telaga sana, mau angkut mau masuk dia dalam ni kuali baru kita masak sampai dia mendidihla. Mendidih kering kurang lebih 12 jam macam tula sampai di kering. Kalau sudah nampak dia punya garam baru kita angkat simpan ke kuali sana.pastu baru kita masuk lagi dalam buluh. Sudah masuk dalam buluh kita mau tebuk lagi dia punya burit dia punya belakang….

Jika dilihat dari ujaran di atas, aspek tatabahasa jelas ditunjukkan. Hal ini dibuktikan dengan penggunaan kata dan penyusunan ayat yang telah diujarkan oleh PGB. Dalam hal ini, PGB telah menggunakan kata singkatan seperti mau yang disingkatkan daripada kata mahu apabila dia menceritakan tentang proses penghasilan garam. Selain itu, jika diteliti PGB juga menggunakan partikel ‘lah’ dalam ujaranya. Hal ini ditunjukkan dalam ayat “…. Kita masak sampai dia mendidihla”. Ayat yang digunakan ini merupakan ayat yang tidak gramatis. Hal ini demikian kerana, sesuatu ayat menjadi tidak gramatis sekiranya partikel -kah, -tah dan –lah  dalam bahagian predikat ayat tidak dikedepankan. Di samping itu, berdasarkan ujaran di atas juga menunjukkan penggunaan kata yang tidak wujud seperti perkataan “pastu”. Hal ini demikian kerana, pastu tidak mempunyai makna dalam kamus.Tambahan pula, kata “ pastu” ini merupakan singkatan untuk lepas itu yang tidak diiktiraf. Pada hemat saya, penggunaan bahasa yang diujarkan oleh PGB adalah kurang memuaskan. Hal ini demikian kerana, jika tidak didengar dan diberi perhatian sepenuhnya sudah tentu seseorang itu sukar untuk memahami mesej yang ingin disampaikan. Tambahan pula, penyusunan ayat yang tidak teratur menyebabkan penonton perlu betul-betul dengar akan penjelasan yang diberi supaya dapat difahami. Dalam hal ini, saya berpendapat penggunaan bahasa yang digunakan adalah sebab faktor kaum. Hal ini demikian kerana, jika PGB merupakan penduduk di semenanjung mungkin aturan bahasanya lebih baik. Namun, disebabkan PGB merupakan penduduk tetap di Bario bahasa yang digunakan juga berbeza. Oleh yang demikian, jika bahasa itu dilontarkan di perkampungan Bario ia tidak menjadi masalah kerana kebanyakan penduduk di sana merupakan penutur bahasa yang sama. Sebaliknya, jika bahasa yang digunakan ini didengari oleh penduduk semenanjung mungkin sukar untuk difahami.

Latar

Latar tempat

N1: Bario ialah sebuah kawasan dataran tanah tinggi yang terletak di timur Sarawak. Bario namanya yang unik berasal dari dua perkataan kelabit iaitu “ba” bermaksud sawah padi, dan “rio” yang bermaksud angin. Terletak kira-kira 1150 meter di atas paras laut. Lokasinya berhampiran dengan sempadan antarabangsa Kalimantan Indonesia

Berdasarkan ujaran N1 di atas menunjukkan latar tempat dengan jelas. Hal ini dibuktikan apabila N1 menerangkan berkaitan dengan lokasi pelancongan iaitu Bario. Dalam hal ini, N1 telah menerangkan bagamaina keadaan Tanah Tinggi Bario dengan jelas. Perkara ini dinyatakan apabila N1 memerihalkan tentang keadaan perkampungan Bario yang harmoni walaupun memiliki pelbagai suku kaum. Selain itu, perihal mengenai lokasi juga turut menyatakan bahawa Bario ini memiliki tanah yang subur untuk aktiviti penanaman. Keindahan bukit bukau yang nian juga menyebabkan N1 merasakan bahawa Bario ini merupakan satu tempat perlancongan yang unik. Pada hemat saya, latar tempat yang dipilih sebagai dokumentari iaitu perkampungan Bario merupakan sebuah tempat yang unik dan indah. Hal ini demikian kerana, perihal yang dinyatakan oleh N1 menunjukkan bahawa betapa cantiknya perkampungan Bario ini dengan suhu yang tidak mencecah 30 darjah celcius pun. Dengan perihal yang jelas tentang perkampungan Bario menyebabkan rasa ingin tahu penontoh tentang perkampungan itu. Selain itu, perihal mengenai Bario ini juga membuka mata penonton tentang keindahan kawasan di pedalaman. Justeru, latar tempat perkampungan Bario merupakan latar yang memiliki cirinya yang tersendiri sehingga mampu menarik minat penonton.

 

 

 

Latar masyarakat

N1: Suku kaum kelabit terdiri dari 5000 orang merupakan kaum terkecil di Sarawak. Di samping itu juga kau Kayan merupakan kaum yang menumpang di kampung Bario milik kaum kelabit.

Latar masyarakat boleh didefinisikan sebagai individu atau kumpulan masyarakat yang terlibat dalam perkara yang diceritakan. Dalam hal ini, latar masyarakat yang terdapat di perkampungan Bario ialah suku kaum Kelabit dan kaum Kayan. Jika dilihat pada ujaran di atas, N1 menerangkan bahawa terdapat suku kaum Kelabit yang terdiri dari 5000 orang menetap di perkampungan Bario. Hal ini menunjukkan bahawa suku kaum Kelabit merupakan penduduk majoriti perkampungan Bario tersebut. Oleh hal yang demikian, ini membuktikan bahawa suku Kaum Kelabit merupakan pemilik kampung Bario yang sebenar. Walau bagaimanapun, terdapat juga latar masyarakat suku kaum Kayan. Dalam hal ini, suku kaum Kayan merupakan penduduk minoriti di Perkampungan Bario. Hal ini demikian kerana, suku kaum Kayan terdiri daripada kurang 500 orang di perkampungan Bario. Oleh itu, suku Kaum Kayan dianggap sebagai menumpang di Perkampungan Bario. Pada hemat saya, latar masyarakat yang terdiri daripada suku kaum Kelabit dan Kayan menunjukkan bahawa terdapat perbezaan budaya dan adat. Walau bagaimanapun, perbezaan budaya dan adat itu tidak menjadi alasan untuk menimbulkan perbalahan antara kaum. Walhal, mereka hidup aman dan harmoni serta saling membantu. Hal ini merupakan satu perkara yang unik tentang perkampungan Bario. Walaupun ideologi berbeza namun tidak terdapat sebarang diskriminasi terhadap kaum lain. Selain itu, ekonomi juga dikongsi secara bersama bagi menjana pendapatan.

Latar masa

N1: Perjalanan dari Miri dengan pacuan empat roda akan mengambil masa tiga belas jam untuk ke bario.

Berdasarkan ujaran di atas menunjukkan elemen latar masa yang jelas. Hal ini dibuktikan apabila terdapat huraian mengenai masa berlakunya sesuatu. Dalam hal ini, latar masa yang dimaksudkan ialah perjalanan ke perkampungan Bario yang mengambil masa selama 13 jam. Jika diteliti video dokumentari yang dipilih, jelas menunjukkan keadaan Bario yang berbukit bukau. Oleh itu, suhu di Bario juga tidak tinggi iaitu Cuma 20 darjah celcius sahaja. Selain itu, Bario juga merupakan kawasan pedalaman. Maksudnya di sini jika seseorang ingin ke Bario dia perlu melalui hutan belantara untuk tiba di destinasi. Perkara ini menyebabkan perjalanan ke Bario mengambil masa yang lama. Pada hemat sangat, masa tiga belas jam untuk ke Bario sememangnya logik. Hal ini demikian kerana, keadaan struktur geografi di Bario menyebabkan kesukaran untuk pacuan empat roda tiba di sana dengan lebih jelas. Dalam hal ini, keadaan berbukit bukau menunjukkan bahawa jalan yang dilalui bukan mudah. Dengan keadaan hutan belantara sudah tentu terdapat lumpur dan lubang-lubang pada jalan yang menyebabkan N1 untuk sampai ke destinasi amat sukar sehingga perjalanan boleh mencecah 13 jam. Oleh sebab itu, alternatif lain seperti menaiki pesawat diperkenalkan untuk memudahkan pelancong ke Bario.

Andaian

Pendapat

N1: Keunikan etnik Sarawak ini juga terletak kepada hasil kraftangan masyarakat Kelabit di Bario yang semestinya boleh dibeli dengan harga yang berpatutan memandangkan ianya dibeli secara lansung daripada pembuatnya.

Berdasarkan ujaran di atas menunjukkan elemen andaian dalam aspek pendapat dengan jelas. Hal ini dibuktikan apabila N1 menyatakan bahawa keunikan kaum Kelabit juga disebabkan oleh hasil kraftangannya yang boleh dibeli dengan harga berpatutan. Dalam hal ini N1 menyatakan pendapatnya yang berbentuk positif iaitu apabila hasil kraftangan di hasilkan sendiri maka harganya akan lebih rendah sekali gus dapat menjana pendapatan dengan mudah. Jika diteliti pendapat yang dilontarkan oleh N1 ini adalah disebabkan oleh pengalaman N1 sendiri yang berada di sana. Oleh hal yang demikian, N1 lebih mengetahui dengan lanjut bagaimana hasil pendapatan dari penjualan kraf tangan oleh masyarakat Kelabit dan faktor penjualan kraf tangan kelabit semakin rancak. Pada hemat saya, pendapat yang dilontarkan oleh N1 ini menunjukkan bahawa dia sudah mengerti selok belok masyarakat Kelabit. Dalam hal ini mungkin dia sudah tahu perkakas apa yang perlu untuk hasil kraf tangan dan juga harga setiap barang tersebut. Oleh hal yang demikian, N1 boleh menyatakan pendapat berkaitan dengan harga yang berpatutan kerana sudah dibandingkan dengan hasil yang lainnya 

 

 

 

 

 

Perujukan

N1: Rupa paras mereka bermata sepet dan berkulit putih

Aspek perujukan bagi elemen andaian boleh dinilai berdasarkan ujaran di atas. Dalam hal ini, perujukan merupakan ayat atau kenyataan yang merujuk kepada sesuatu bahan, perkara atau manusia. Dalam konteks, ujaran di atas rujukan yang dimaksudkan ialah rujukan yang merujuk kepada manusia. Hal ini demikian kerana, dalam ujaran di atas N1 telah menggunakan kata rujukan “mereka” untuk merujuk kepada manusia. Dapat disingkapkan penggunaan rujukan mereka ini untuk merujuk kepada Kaum Penan. Dalam hal ini, N1 ini merujuk kaum penan berkaitan dengan perihal paras rupa mereka. Jika diteliti video dokumentari, sebelum rujukan di atas dilontarkan N1 sebenarnya sedang bercerita mengenai suku Kaum Penan. Tidak dapat dinafikan lagi, bahawa dalam ujaran di atas rujukan mereka digunakan untuk suku Kaum Penan. Pada pendapat saya, penggunaan kata rujukan “mereka” menunjukkan aspek perujukan yang jelas. Dalam hal ini, kata ganti nama diri ketiga telah digunakan untuk merujuk kaum yang berada di Bario iaitu suku Kaum Penan.Dengan erti kata lain, kata ganti nama diri ketiga itu digunakan untuk menggantikan perkataan Suku kaum Penan sekali gus merujuk kepada kenyataan yang sebelumnya berkaitan dengan ciri masyarakat Kaum Penan.

Persoalan

PGB: Pertama sebelum kita mau proses garam, kita mau ambil ni garam dari telaga sana, mau angkut mau masuk dia dalam ni kuali baru kita masak sampai dia mendidihla. Mendidih kering kurang lebih 12 jam macam tula sampai di kering.,,,,,

Aspek persoalan dalam elemen andaian jelas ditunjukkan pada ujaran di atas. Hal ini dibuktikan apabila PGB memerihalkan tentang proses penghasilan garam bukit. Dalam hal ini, dapat diandaikan bahawa PGB telah dikemukan soalan tentang bagaimana proses garam bukit berlaku di belakang tabir. Hal ini demikian kerana, dalam setiap persoalan pasti mengandungi jawapan. Dalam konteks ini, PGB telah memberikan jawapan tentang proses garam bukit. Walaupun, perbualan atau persoalan yang dilontarkan tidak dapat ditunjukkan namun, PGB yang dengan tiba-tiba menghuraikan mengenai proses pembuatan garam menunjukkan bahawa terdapat persoalan yang diajukan kepadanya di belakang tabir. Pada pandangan saya, dalam setiap perbualan persoalan sangat penting. Hal ini demikian kerana, dengan mengajukan persoalan seseorang individu itu dapat mengetahui perihal tentang sesuatu perkara dengan lebih jelas. Dalam konteks ini, jawapan yang diberikan oleh PGB dapat memberi penerangan yang jelas tentang proses penghasilan garam. Oleh itu, dengan jawapan yang lengkap boleh menarik penonton untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai pembuatan garam ini. Selain itu, dengan menjawab persoalan tentang proses pembuatan garam ini juga boleh menyebabkan pelancong ingin ke sana dan merasakan sendiri proses pembuatan itu.


No comments:

Post a Comment